Banyak Masa, Tapi Tak Buat Perkara Yang Diinginkan

 November 2020, majikan membenarkan aku untuk kerja dari rumah (Work From Home).

Dek kerana wabak Covid ini, aku dan beberapa yang lain diarahkan untuk kerja di rumah. Kami dibekalkan dengan laptop syarikat.

Ini sesuatu yang aku kira sebagai rezeki. Banyak masa aku boleh digunakan untuk aktiviti aku sambil melakukan kerja.

Tetapi setelah dua minggu di rumah, baru aku perasan betapa membazirnya masa aku. 

Ada banyak perkara yang dulu aku teringin nak lakukan  tapi terhalang kerana waktu kerja. Jika boleh dilakukan ketika balik kerja pun, hari sudah terlalu petang dan waktu malam aku sibuk menguruskan keluaraga.


Photo by Andrea Piacquadio from Pexels


Ini antara perkara tersebut:

  • Jogging atau melakukan senaman bakar lemak di rumah
  • Membaca buku-buku yang sudah dibeli tapi tak pernah ada masa untuk membacanya (termasuk ebook)
  • Melihat chart saham dan membuat teknikal analisis
  • Membaca Al-Quran
  • Membasuh motor
  • Menukar lampu di rumah yang sudah rosak
  • Menulis 
Aku masih ingat lagi, selalunya aku akan melalui satu kawasan taman tasik untuk ke tempat kerja. Dalam hati asyik menyebut, beruntungnya aku kalau dapat joging setiap pagi.

Ketika melihat buku-buku dan ebook dalam simpanan aku, aku akan berkata kalau lah ada masa untuk menikmati semua bahan bacaan itu.

Ketika mendengar ceramah agama di Youtube atau Facebook -(biasanya aku mendengar ceramah menggunakan earphone sambil melakukan kerja di pejabat) -aku akan berkata alangkah beruntungnya jika ada masa untuk aku mendapat pahala dari bacaan Al-Quran.

Ketika isteri aku membebel bila mahu menukar lampu di rumah yang sudah lama tidak menyala, aku akan menjawab tiada masa nak mencari barang ganti nya.

Ketika melihat motor aku yang seolah-olah sudah berlumut, aku berkata bila kah akan ada masa untuk aku membasuh motor ku.

Nah sekarang, bagai pucuk dicita ulam mendatang. Aku tiba-tiba mempunyai banyak masa di rumah. Sementelah urusan kerja aku boleh diselesaikan dalam tempoh dua atau tiga jam sahaja. Selebihnya aku bebas melakukan apa saja.

Tapi apa yang aku lakukan? Aku habiskan masa dengan media social dan marathon drama Suits.

Tulisan ini aku tulis kerana tadi aku terfikir apa yang aku lakukan dengan kelebihan masa yang aku ada sekarang. 

Dan aku berazam, esok (selepas aku tulis artikel ini) aku akan mula melaksanakan perkara impian di atas.

Insyaallah!

0 comments:

Post a Comment